FIGURA disegani di mahkamah dan media sosial, Frank Caprio, meninggal dunia pada usia 88 tahun selepas lama bertarung dengan penyakit kanser pankreas.
Berita duka itu dikongsikan menerusi hantaran di Instagram miliknya pada pagi Khamis.
Dia dikenali sebagai 'hakim paling baik di dunia' kerana sikap penuh belas kasihan dan dianggap adil setiap kali mengendalikan prosiding.
Caprio pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim di Mahkamah Perbandaran Providence, Rhode Island, Amerika Syarikat.
Namanya mula menjadi perhatian apabila siri televisyen Caught in Providence memaparkan prosiding sebenar di mahkamah.
Rancangan tersebut mendapat sambutan hangat hingga mencetus fenomena global.
Di media sosial, Caprio muncul merupakan figura popular dengan lebih 1.5 juta pengikut di TikTok.
Pada Disember 2023, Caprio mendedahkan mengenai penyakit kanser yang dihidapinya dan meminta orang ramai mendoakan kesejahteraannya sepanjang rawatan.
Kurang 24 jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, Caprio sempat memuat naik video [Tonton sini] terakhir dari katil hospital untuk pengikutnya.
"Tahun lalu saya minta anda semua doakan saya, dan ternyata doa itu benar-benar membantu saya melalui tempoh sukar.
"Malangnya kali ini saya kembali diuji. Saya sekali lagi berada di hospital sekarang. Saya lagi sekali minta anda ingat saya dalam doa.
"Saya percaya kuasa doa itu besar, dan tuhan sentiasa memandang kita dari atas. Tolonglah ingat saya (dalam doa anda)," katanya dalam rakaman itu. -Agensi