suria

[V] Pesawat terhempas ketika raptai pertunjukan udara, juruterbang terbunuh

Tangkap layar video kejadian yang tular di media sosial. -Foto X

SEORANG juruterbang maut selepas sebuah pesawat F-16 terhempas [Tonton Video] ketika menjalani raptai bagi sebuah pertunjukan udara di Poland.

Jurucakap kerajaan Poland, Adam Szłapka mengesahkan tentang kematian itu menerusi hantaran di media sosial.

Agensi berita Poland, PAP melaporkan pesawat berkenaan adalah milik Tentera Udara Poland.

“Tragedi di Radom, ketika persiapan untuk pertunjukan udara, sebuah jet F-16 terhempas.

"Malangnya, juruterbang meninggal dunia,” tulis Szłapka di laman X sambil memaklumkan Menteri Pertahanan sedang menuju ke lokasi nahas.

Tiada orang awam di daratan yang cedera dalam insiden itu, demikian menurut kenyataan tentera Poland.

Video yang disiarkan media tempatan menunjukkan pesawat berkenaan melakukan aksi akrobatik sebelum terhempas di landasan dan terbakar.

Nahas itu berlaku menjelang acara AirSHOW Radom 2025 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini. -Agensi

 

Artikel Lain