SEORANG perunding hartanah ditahan selepas didakwa memenggal dan mengerat tubuh anak saudaranya yang berusia 17 tahun demi menyelesaikan masalah kewangan.
Bahagian tubuh yang dikerat pula dibuang di beberapa lokasi sekitar Prayagraj di India, bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis (bandar) Abhishek Bharti, tindakan kejam itu dilakukan selepas suspek yang dikenali sebagai Sharan Singh dikatakan mendapat nasihat daripada seorang pawang susulan kerugian besar yang dialami dalam perniagaan.
Perbuatan itu juga didakwa dilakukan kerana suspek mengalami tekanan selepas dua anaknya meninggal dunia kerana membunuh diri.
Susulan itu, Abhishek berkata, pihaknya memburu pawang terbabit bagi membantu siasatan lanjut selepas suspek menunjukkan lokasi pembuangan beberapa bahagian anggota tubuh mangsa.
"Suspek mendakwa pawang yang ditemuinya meminta dia mengorbankan seseorang yang sebaya dengan anaknya bagi menyelesaikan masalah dialami.
"Kebetulan, mangsa yang merupakan anak saudaranya sebaya dengan anak-anaknya," jelasnya.
Memperincikan kejadian yang berlaku, ujar Abhishek, suspek pada awalnya melakukan penculikan pada waktu pagi ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah.
"Suspek dipercayai menutup mulut mangsa dan mengheretnya ke pawang, di mana badan mangsa dikerat seiring bacaan mantera.
"Suspek kemudiannya membungkus bahagian badan secara berasingan dalam beg plastik, sebelum membalutnya dengan cadar berwarna merah dan merah jambu bagi menyembunyikan kesan darah.
"Rakaman kamera pengawasan menunjukkan suspek menunggang skuter untuk membuang badan mangsa ke dalam longkang manakala tangan dan kaki mangsa dicampak ke dalam hutan," jelasnya.
Menurut Abhishek, pembunuhan kejam itu terbongkar apabila seorang wanita, yang sedang membawa kerbaunya meragut rumput ternampak bungkusan mencurigakan, sebelum memaklumkan kepada orang ramai.
Malah pasukan polis mengimbas kira-kira 200 rakaman kamera CCTV di mana suspek dilihat membawa satu bungkusan besar pada skuternya sebelum dia ditahan. -Agensi