suria

Terkejut melampau lepas dapat panggilan daripada ‘madu’, wanita meninggal dunia di pangkuan ibu

Proses bedah siasat penting bagi menentukan punca kematian mangsa. -Gambar hiasan

GARA-GARA dimadukan tanpa pengetahuan, seorang wanita maut dipercayai akibat stres yang melampau ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Atarouli di India.

Sewaktu kejadian pada Selasa, mangsa dikenali sebagai Rita menerima panggilan daripada seorang wanita tidak dikenali menerusi nombor telefon bimbit suami yang memperkenalkan diri sebagai madunya.

"Saya isteri kedua suami awak," dakwa wanita berkenaan.

Mendengarkan hal tersebut, wanita berusia 25 tahun itu memutuskan mahu meninggalkan Delhi bersama ibu dan abangnya untuk pulang ke rumah mereka di Hardoi, Uttar Pradesh.

Setibanya mereka di Dhikkuni, mangsa yang menangis teresak-esak di pangkuan ibunya, tiba-tiba mengadu rasa tidak sedap badan.

Dia kemudiannya dilaporkan pengsan secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia di dalam bas selang beberapa lama kemudian.

Susulan itu, abangnya tampil membuat laporan di Balai Polis Atarouli.

Menurut Inspektor Markandey Singh, mayat mangsa dihantar untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Untuk rekod, Rita berkahwin dengan Shailendra, penduduk kampung Baniya Mau di Sitapur selama hampir tiga tahun.

Sejak kematian bapanya pada Mei lalu, dia dipercayai tinggal berasingan dengan suaminya ekoran perselisihan faham yang terjadi antara mereka. -Agensi

 

 

Artikel Lain