SEORANG wanita terkejut apabila menemui rangka manusia dalam tangki septik di rumahnya, yang dipercayai milik suaminya yang dilaporkan hilang sejak tiga tahun lalu.
Thawee Paekratoke, 60, segera menghubungi polis selepas menjumpai tulang dan tengkorak di dalam tangki septik yang tidak lagi digunakan di kediamannya di daerah Nong Boon Mak, wilayah Isaan, Thailand, pada Isnin.
Menurut Thawee, suaminya, Soeng Paekratoke, 65, dilaporkan hilang pada 15 November 2022.
Ketika itu, dia turut membuat laporan polis namun tiada sebarang perkembangan diperoleh.
Pencarian keluarga terhenti selepas penduduk tempatan mendakwa melihat Soeng bersama seorang wanita di pasar.
Menganggap suaminya meninggalkan keluarga kerana menemui cinta baru, Thawee tidak lagi meneruskan usaha mencari.
Bagaimanapun, semasa sedang membersihkan kawasan belakang rumah, wanita tersebut tergerak mahu mencuci tangki septik yang penuh dengan kotoran.
Ketika itulah di menemui tulang, tengkorak serta sehelai baju yang dikenal pasti sebagai milik suaminya.
"Melihat pakaian itu, saya yakin ia adalah suami saya," katanya.
Thawee beranggapan suaminya mungkin terjatuh ke dalam tangki septik ketika mabuk.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan identiti rangka berkenaan.
Tulang berkenaan telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Maharat Nakhon Ratchasima, untuk tujuan pengecaman serta mengenal pasti punca kematian. -Agensi