SEORANG bayi perempuan yang baru lahir meninggal dunia pada Selasa selepas dilaporkan digigit tikus di wad rawatan intensif neonatal (NICU).
Selain bayi perempuan itu, seorang bayi lelaki turut digigit haiwan perosak tersebut.
Bagaimanapun, hospital menegaskan gigitan tikus bukan punca utama kematian bayi berusia tiga hari itu, sebaliknya disebabkan masalah penyakit jantung kongenital yang serius.
Pentadbiran hospital menggantung dua tugas jururawat dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beberapa pegawai terlibat, selain jururawat penyelia turut digugurkan daripada jawatan.
Kejadian menyayat hati itu berlaku di Hospital Maharaja Yeshwant Rao, Indore di India [Tonton Video].
Syarikat kawalan serangga yang bertanggungjawab terhadap pengurusan tikus dikenakan denda sebanyak Rs 1 lakh (kira-kira RM57,000) dan diberi amaran kontrak mereka boleh ditamatkan.
Dekan Kolej Perubatan, Dr Arvind Ghanghoria, mengakui insiden itu sebagai kecuaian serius.
“Pada Isnin, kedua-dua bayi masih stabil, tetapi menjelang pagi Selasa, seorang daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi kritikal,” katanya.
Menurut Dr Ghanghoria, bayi yang meninggal dunia seberat 1.2 kilogram, manakala seorang lagi bayi yang masih hidup seberat 1.6 kilogram.
Pengarah Perubatan Hospital, Dr Ashok Yadav, turut menegaskan punca kematian bukan akibat gigitan tikus.
“Bayi perempuan itu meninggal kerana penyakit jantung kongenital yang teruk. Ibu bapanya telah meninggalkan dia di hospital dan kami sudah memaklumkan kepada pihak polis. Bayi yang seorang lagi kini stabil,” katanya.
Pihak hospital kini melancarkan operasi kawalan tikus secara menyeluruh di seluruh kawasan hospital.
“Kami telah arahkan penyemburan dan tindakan pencegahan dilakukan segera bagi elak kejadian berulang,” jelas Dr Ghanghoria.
Insiden ini mencetuskan kemarahan ramai pihak yang menuntut hospital meningkatkan standard kebersihan serta keselamatan pesakit, khususnya bayi yang memerlukan rawatan kritikal.-Agensi