HAMPIR setahun berlalu, rahsia pembunuhan seorang lelaki akhirnya terbongkar apabila polis mendapati dia dibunuh oleh isterinya sendiri dengan bantuan anak saudara mangsa.
Menurut laporan India Today, mangsa yang bekerja di Gujarat, India biasanya pulang ke rumah setiap enam atau tujuh bulan sekali.
Namun, dalam tempoh ketiadaannya, si isteri menjalinkan hubungan sulit dengan anak saudara lelaki mangsa.
Kepulangan mangsa pada 2 November tahun lalu mencetuskan pertengkaran besar sehingga kedua-dua tertuduh berpakat untuk membunuhnya.
Ketika kejadian, mangsa diberi minum air teh berisi bahan pelali sebelum dipukul dengan objek besi sehingga maut.
Mayatnya kemudian ditanam di belakang rumah mereka di Kanpur, India.
Selepas kejadian, si isteri menipu ibu mentua kononnya dia masih berhubung dengan suami.
Penipuan itu berlanjutan hampir 11 bulan sebelum ibu mangsa membuat laporan orang hilang pada 16 Ogos lalu.
Bertitik tolak daripada laporan itu, polis membuka kertas siasatan dan menemukan tulang serta cebisan rambut di lokasi mangsa ditanam.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Kanpur Barat, Dinesh Tripathi, kes ini agak rumit kerana kedua-dua tertuduh berusaha menutup kebenaran.
Namun siasatan teliti berjaya membongkar pembunuhan kejam tersebut.
Kini, kedua-dua suspek direman dan didakwa atas tuduhan membunuh dan siasatan lanjut masih diteruskan.