SEBUAH lapangan terbang antarabangsa terpaksa ditutup selepas beberapa dron dikesan berlegar-legar di kawasan berhampiran, sekali gus mencetuskan kekecohan pada malam Isnin.
Difahamkan, sebanyak tiga buah dron kelihatan terbang di ruang udara Lapangan Terbang Copenhagen, Denmark, sehingga memaksa pihak polis dikerahkan ke lokasi itu.
“Kami menugaskan anggota polis dalam jumlah besar di lokasi itu,” kata Ketua Polis Copenhagen, Henrik Stormer kepada media.
Susulan insiden itu, semua pelepasan dan ketibaan di lapangan terbang berkenaan dihentikan sekitar pukul 8.30 malam waktu tempatan, menurut Naviair, syarikat yang mengendalikan kawalan trafik udara di fasiliti tersebut.
FlightRadar menerusi hantaran di X pula memaklumkan lebih 35 penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Copenhagen terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang alternatif.
Antara destinasi lencongan yang digunakan ialah Malmö, Billund, Aarhus dan Gothenburg.
Setakat ini, maklumat mengenai pemilikan dron berkenaan masih belum didedahkan. -Agensi