suria

[V] Peminta sedekah guna cara baharu minta duit, selamba bawa ular naik kereta api

Tangkap layar (screenshot) video memaparkan seorang lelaki membawa ular memasuki gerabak kereta api dan meminta sedekah daripada penumpang.

TULAR sebuah video [Tonton Video] di media sosial memaparkan seorang lelaki membawa seekor ular ke dalam gerabak kereta api sambil meminta sedekah daripada penumpang.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di dalam kereta api Ahmedabad Sabarmati Express, yang ketika itu dalam perjalanan antara Mungaoli ke Bina Junction, Madhya Pradesh, India.

Menerusi video yang dimuat naik seorang pengguna di platform X, lelaki berkenaan dilihat memegang reptilia dipercayai daripada spesies tidak berbisa sambal berjalan di tengah-tengah tempat duduk penumpang meminta wang.

Beberapa individu turut dilihat menyerahkan wang kepada lelaki berkenaan, dipercayai kerana takut.

"Lelaki bersama ular naik di Mungaoli. Cara baharu 'memeras' wang daripada buruh yang bekerja keras di dalam keretapi di India," demikian kapsyen yang ditulis di video berkenaan. 

Video tersebut menarik perhatian ribuan warga maya dalam masa singkat dan mencetuskan kecaman terhadap tahap keselamatan di dalam sistem pengangkutan awam.

Bertindak pantas susulan perkongsian video berkenaan, pengendali perkhidmatan tren, RailwaySeva membuat hantaran di X meminta orang ramai untuk mengemukakan maklumat lanjut berkaitan kejadian berkenaan.

Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) juga diarahkan untuk menjalankan siasatan segera. -Agensi

Artikel Lain