suria

Lori pasir ‘tak larat’ naik bukit, terbalik rempuh rumah... Dua beradik sedang tidur maut dihempap dinding

Keadaan lori pasir yang terbalik dan menimpa rumah seorang penduduk kampung di Bangkalan, Indonesia. -Foto Kompas

DUA beradik maut ketika sedang tidur akibat dihempap dinding rumah, selepas sebuah lori yang membawa muatan pasir terbalik dan menimpa kediaman mereka. 

Menurut polis, hasil siasatan mendapati kejadian yang berlaku pada awal pagi Selasa itu berpunca apabila lori berkenaan gagal mendaki bukit dan hilang kawalan sebelum terbalik serta merempuh sebuah rumah di tepi jalan. 

"Lori yang dipandu lelaki berusia 50 tahun tersebut tidak dapat menahan muatan berat pasir dan mengundur ke belakang sehingga merempuh rumah seorang penduduk di  Desa Bunajih, dekat Bangkalan," kata Ketua Perhubungan Awam Polis Bangkalan, Indonesia iaitu Inspektor Pertama Agung Intama.

Ujarnya, mangsa yang maut merupakan pasangan adik-beradik berusia 10 tahun dan lima tahun. 

"Dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Rumah mereka serta lori mengalami kerosakan teruk," tambah Agung.

Sementara itu, Unit Trafik Polis Bangkalan kini sedang memindahkan lori berkenaan ke Unit Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

Pemandu lori kini ditahan dan beberapa saksi telah diambil keterangan berhubung insiden tersebut. -Agensi

Artikel Lain