SEORANG lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas disyaki menikam rakannya hingga maut dan mencederakan isterinya, gara-gara didorong perasaan cemburu.
Kejadian tragis itu berlaku pada Khamis lalu di daerah Phimai, wilayah timur laut Thailand, apabila suspek yang dikenali sebagai Prasong dikatakan hilang kawalan selepas melihat isterinya, Toei Namsai, berbual rapat dengan rakannya, Prakob, 46 tahun, ketika menikmati minuman di luar.
Menurut kenyataan polis, Toei mengalami kecederaan parah akibat ditikam dan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala Prakob disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Suspek yang juga seorang buruh berjaya ditahan berhampiran kediamannya tidak lama selepas kejadian.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati rasa cemburu menjadi motif utama insiden tersebut.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian. -Agensi