suria

Cubit, cakar, tendang 21 bayi... Pekerja taska dipenjara 8 tahun, dakwa tak sedar lakukan jenayah

Roksana Lecka didapati sedang menghisap vape di dalam bilik tidur bayi ketika bekerja di sebuah taska. -Foto Metropolitan Police

SEORANG pekerja taska dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun selepas disabitkan atas kesalahan mendera 21 bayi secara kejam di dua buah taska.

Wanita itu mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, manakala 14 lagi pertuduhan diputuskan bersalah oleh juri pada Jun lalu.

Roksana Lecka, 22 didapati mencubit, menolak, mencakar serta menendang bayi, malah pada satu kejadian menendang muka seorang budak lelaki kecil beberapa kali sebelum memijak bahunya.

Dia juga didapati menghisap vape ketika menguruskan bayi malang tersebut.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia kerap menyakiti kanak-kanak berusia antara 18 bulan hingga dua tahun ketika rakan sekerja tiada.

Kejadian dilapor berlaku di London, United Kingdom (UK).

Hakim Plaschkes KC menyifatkan tindakan Lecka sebagai 'keganasan sadistik' serta 'penderaan yang sengaja untuk mencederakan'.

Malah juri dan ibu bapa yang hadir tidak dapat menahan sebak ketika menonton rakaman penderaan itu.

Menurut polis, perbuatan Lecka terbongkar pada Jun 2024 selepas dia digantung kerja kerana dilihat mencubit kanak-kanak di Montessori Riverside Nursery, Twickenham. 

Siasatan lanjut mendedahkan penderaan turut berlaku di sebuah lagi taska, Little Munchkins, di Hounslow.

Pendakwa raya Gemma Burns berkata Lecka telah menunjukkan kekejaman luar biasa terhadap bayi-bayi tersebut.

"Dia sepatutnya melindungi mereka, tetapi sebaliknya mengambil kesempatan ketika rakan sekerja tiada untuk menyakiti mangsa," katanya.

Lecka dalam keterangannya mendakwa tabiat menghisap ganja dan obsesinya terhadap teman lelaki menyebabkan dia tidak sedar akan perbuatannya, namun mahkamah menolak alasan itu.

Kes ini mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa di London, dengan ramai menyifatkan Lecka sebagai manusia paling keji yang sanggup menyakiti anak kecil tidak berdaya.-Agensi

 

Artikel Lain