SERANGAN Israel ke atas Gaza terus meragut nyawa apabila sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh sejak awal pagi Selasa
Dalam masa sama, Hamas sedang meneliti pelan 20 perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menamatkan peperangan.
Sumber diplomatik memaklumkan kepada Al Jazeera bahawa pasukan rundingan Hamas sedang meneliti butiran cadangan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula mengesahkan persetujuan terhadap pelan berkenaan ketika sidang media bersama Trump di Rumah Putih.
Penduduk Gaza bagaimanapun menyuarakan keraguan, terutama mengenai cadangan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa di wilayah berkenaan.
Walaupun begitu, pelan Trump mendapat sambutan positif daripada beberapa negara, termasuk Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Itali, Perancis, dan United Kingdom.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) turut dilaporkan menyatakan sokongan.
Data daripada Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan angka korban sejak perang bermula pada Oktober 2023 kini mencecah 66,055 orang, manakala lebih 168,346 cedera.
Ribuan lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Di pihak Israel, 1,139 orang terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dengan kira-kira 200 orang masih ditahan sebagai tebusan.
Walaupun rundingan damai sedang diusahakan, bedilan berterusan Israel terus menambah penderitaan penduduk Gaza.
Bagi keluarga mangsa, keutamaan mereka kini adalah melihat peperangan dihentikan dan kehidupan dibina semula di tanah yang musnah. -Agensi