SIKAP tamak sepasang pelanggan di sebuah restoran bufet mengundang kecaman selepas mereka kantoi cuba menyeludup keluar bahan mentah dalam beg membeli-belah.
Rakaman video berdurasi hampir dua minit [Tonton Video], dipercayai dirakam melalui kamera badan pekerja restoran, memperlihatkan pasangan berkenaan menyumbat sejumlah besar makanan mentah.
Ia termasuk makanan laut, daging lembu dan mi segera.
Pasangan itu kemudiannya ditegur pekerja kedai selepas perbuatan mereka berjaya dihidu.
“Untuk sebab kebersihan, sila keluarkan (semua makanan dari beg). Anda boleh makan sepuas hati di sini, tapi kami tak boleh benarkan ia dibawa pulang,” kata pekerja restoran dengan sopan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Tsuen Wan Plaza di Hong Kong.
Pada mulanya lelaki itu menafikan perbuatan itu, namun akhirnya dia mengeluarkan plastik berisi makanan laut tersebut.
Selepas didesak, pasangan terbabit terpaksa menyerahkan keseluruhan beg yang sarat dengan bahan mentah.
Restoran berkenaan, dipercayai The Aquatic Market, tidak melaporkan insiden itu kepada pihak polis.
Bagaimanapun, peguam terkenal Hong Kong, Albert Luk Wai-hung, menegaskan perbuatan membawa pulang bahan mentah dari restoran bufet boleh dianggap sebagai cubaan mencuri dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.
Menurutnya, perbuatan mereka berbeza daripada amalan biasa iaitu membawa pulang lebihan makanan siap dimasak.
Difahamkan, pasangan itu pernah mengunjungi restoran tersebut sebanyak dua hingga tiga kali. -Agensi