SEORANG lelaki ditahan polis selepas disyaki merancang pembunuhan ahli keluarganya sendiri termasuk isteri pertama, bapa dan ibunya bagi menuntut wang insurans.
Suspek berusia 37 tahun itu dipercayai menjadi dalang kepada skim penipuan insurans berskala besar yang kini dikaitkan dengan operasi merentas 11 negeri.
Kes itu terbongkar selepas isteri keempatnya tampil membuat laporan polis, mendakwa dipaksa menandatangani dokumen polisi insurans bernilai tinggi.
Suspek dikenali sebagai Vishal Singhal dan kejadian dilaporkan berlaku di Uttar Pradesh, India.
Siasatan awal mendapati Singhal telah pun mengutip kira-kira ₹1.5 crore (RM840,000) daripada tuntutan insurans melibatkan kematian ahli keluarganya.
Dia juga cuba memfailkan tuntutan baharu yang lebih besar bernilai sehingga ₹50 crore (RM28 juta).
Polis mendedahkan bahawa ketika bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan yang dilaporkan, si mati memiliki 64 polisi insurans yang masih aktif.
Jumlah polisi luar biasa ini menguatkan lagi syak wasangka pihak berkuasa bahawa kematian tersebut dirancang.
Selain itu, Singhal juga didakwa bekerjasama dengan sebuah hospital swasta di Meerut untuk memalsukan rekod kecederaan sebagai menyokong tuntutan insurans.
Ketua Polis Meerut mengesahkan kes ini kini menjadi fokus siasatan khas kerana ia menunjukkan ciri-ciri skandal insurans bersindiket yang dipercayai melibatkan pihak ketiga.
“Kes ini bukan sahaja melibatkan pembunuhan, tetapi juga eksploitasi sistem insurans dalam skala yang besar.
"Kami sedang bekerjasama dengan syarikat insurans dan pihak hospital untuk meneliti semua rekod,” kata seorang pegawai kanan polis.
Singhal, yang berasal dari keluarga kelas pertengahan di Uttar Pradesh, dikatakan bijak memanipulasi sistem insurans dengan menginsuranskan ahli keluarganya dalam jumlah yang tidak masuk akal.
Pihak berkuasa percaya dia mula merancang skim ini sejak beberapa tahun lalu, ketika berada dalam keadaan kewangan yang terdesak.
Kini, Singhal berdepan tuduhan membunuh dengan niat serta penipuan komersial, dan boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan di bawah undang-undang India.-Agensi