suria

Pekerja wanita disiram air panas, majikan berang bercinta dengan abang kandung

Keadaan mangsa yang melecur teruk akibat disiram air panas.

 

SEORANG majikan didakwa menuang air mendidih ke atas pekerjanya selepas mendapati wanita itu menjalinkan hubungan romantik dengan abangnya.

Serangan mengejutkan ke atas mangsa berusia 22 tahun itu menarik perhatian umum selepas gambar kecederaannya dikongsikan seorang pempengaruh media sosial, Ban Hia Charn Oui Ubon di Facebook. 

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, Isnin di sebuah kedai motosikal di Ubon Ratchathani, Thailand.

Menurut kakak mangsa, sebelum kejadian, dia melihat anak pemilik kedai, Bee, 27, berjalan sambil memegang cerek panas. 

Tidak lama selepas itu, dia terdengar jeritan adiknya sebelum mendapati Bee sedang menuang air mendidih ke atas mangsa, lalu kembali ke meja kerjanya seperti biasa.

Mangsa segera dibawa ke hospital bagi menjalani pembedahan membuang kulit rosak dan kini ditempatkan di bilik rawatan khas untuk pemulihan lanjut.

Difahamkan, motif kejadian dipercayai berpunca daripada hubungan mangsa dengan abang Bee yang terjalin sejak dua bulan lalu. 

Hubungan tersebut pada awalnya dirahsiakan, namun keluarga lelaki itu akhirnya mengetahui dan menentang keras.

Malah, dua hari sebelum insiden, lelaki berkenaan ada memaklumkan kepada mangsa bahawa dia bertengkar dengan adiknya mengenai hubungan mereka.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan, Bee bersama bapanya tampil menyerah diri di balai polis seterusnya didakwa atas kesalahan serangan fizikal yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan hingga 10 tahun.

Dalam temu bual ringkas bersama media, Bee enggan mengulas lanjut mengenai insiden berkenaan selain kelihatan sebak.

Pada masa sama dia seolah-olah keliru dan mengakui tidak mengetahui punca yang mendorongnya bertindak sedemikian.

Bagaimanapun, dia berjanji menanggung kos perubatan mangsa, membayar pampasan kepada keluarga serta memberi kerjasama penuh sepanjang proses undang-undang. -Agensi

Artikel Lain