SEORANG lelaki bekas pesakit tumor otak mendapat pujian meluas selepas menyewa sebuah pangsapuri berdekatan hospital untuk dijadikan penginapan percuma bagi keluarga pesakit yang menjaga ahli keluarga mereka di hospital.
Zheng Gang, 39, disahkan menghidap tumor otak pada 2020 dan dirawat selama 45 hari dengan dia melihat ramai waris pesakit terpaksa tidur di lantai hospital kerana tidak mampu menyewa bilik.
Pengalaman itu membuatkan Zheng terdetik untuk membantu, selain sebagai tanda terima kasih kepada keluarga yang menjaga dirinya ketika sakit.
Pada 2022, Zheng menyewa sebuah rumah berdekatan hospital di Shandong, China dengan sewa sekitar 1,000 yuan (RM650) sebulan, berbanding kos hotel berdekatan mencecah 150 yuan (RM100) semalam.
Pangsapuri itu dipanggil House of Compassion (Rumah Kasih Sayang), dilengkapi katil dua tingkat serta kemudahan memasak asas, mampu menampung sehingga 15 orang dalam satu masa.
Dalam tempoh empat tahun, lebih 300 keluarga sudah mendapat manfaat daripada rumah tersebut.
Ada yang tinggal beberapa hari, ada juga sehingga sebulan, bergantung pada keperluan.
Setiap petang, Zheng akan berdiri di luar hospital dengan papan tanda kadbod untuk mempelawa waris pesakit yang kelihatan berada dalam kesusahan.
Selain itu, Zheng turut bekerja sebagai pengiring perubatan, membantu pesakit mendaftar secara dalam talian, menjalani prosedur serta mencari arah dalam hospital besar.
Ada keluarga yang dibantu membalas jasa dengan membeli barangan keperluan harian untuk rumah tersebut.
“Saya amat berterima kasih kerana dia membuat saya percaya bahawa masih ramai manusia yang berhati baik,” kata seorang penerima bantuan.
Zheng kini dilihat sebagai simbol harapan dan belas kasihan, membantu mereka yang terbeban dengan sakit melihat kembali sinar kebaikan dalam masyarakat.-Agensi