SEORANG bayi berusia tiga hari ditanam hidup-hidup di bawah batu di dalam hutan oleh ibu bapa kandungnya.
Perbuatan kejam itu dilakukan kerana pasangan guru sekolah kerajaan itu dipercayai takut kehilangan pekerjaan.
Mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat selepas dikeluarkan penduduk kampung yang mendengar tangisannya dari bawah batu.
Kejadian dilaporkan berlaku di Madhya Pradesh Chindwara, India pada 26 September lalu.
Menurut polis, beberapa penduduk kampung mendengar tangisan bayi terbabit dari bawah batu dan menariknya keluar sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
Susulan itu, Bablu Dandolia, 38, dan isterinya Rajkumari, 28, ditahan bagi membantu siasatan.
"Kedua-duanya mengaku melakukan jenayah dan berkata langkah itu diambil kerana bimbang akan digantung atau dipecat daripada jawatan mengajar.
"Ia disebabkan polisi dua orang anak yang ditetapkan di negeri itu.
"Mereka kini menghadapi tuduhan cubaan membunuh," jelasnya.
Untuk rekod, pasangan terbabit bekerja sebagai guru Kelas 3 di sebuah sekolah rendah kerajaan di daerah itu sejak 2009.
Mereka sudah mempunyai dua anak perempuan yang masing-masing berusia 11 tahun dan tujuh tahun serta seorang anak lelaki berusia empat tahun.
Bayi yang baru dilahirkan itu merupakan anak keempat mereka.
Di bawah polisi 'dua orang anak' Madhya Pradesh, tiada kakitangan kerajaan boleh mempunyai lebih daripada dua cahaya mata. -Agensi