POLIS menahan lima individu termasuk dua wanita berhubung kes rogol dan pembunuhan seorang gadis orang kurang upaya (OKU) mental berusia 15 tahun.
Kejadian dilaporkan berlaku di Kashipur, daerah Udham Singh Nagar di India.
Menurut pihak polis, mangsa diculik dari Kashipur pada 10 September lalu sebelum dibawa ke beberapa lokasi berasingan termasuk Bijnor dan Moradabad di Uttar Pradesh.
Ketika mangsa berkeras mahu pulang, suspek lelaki didakwa melakukan serangan seksual berulang kali terhadapnya.
Bimbang perbuatan terbongkar, suspek akhirnya mencekik mangsa hingga mati sebelum membuang mayatnya di ladang.
Lebih menyayat hati, mayat mangsa yang telah dikerat ditemui pada 22 September di kawasan Kanth, Moradabad.
Malah ibu mangsa turut diugut sekiranya melaporkan kejadian itu sehingga menyebabkan kelewatan laporan dibuat sekali gus menjejaskan siasatan awal.
Sementara itu, Ketua Balai Polis Kunda, Ravi Saini mendedahkan kes ini dipercayai hasil konspirasi yang dirancang rapi.
"Semua tertuduh tinggal di bangunan sama tetapi berbeza bilik. Pada awalnya, mangsa dikurung di rumah seorang wanita bernama Sheila di Kashipur, sebelum dipindahkan ke Bijnor dan Gajraula," jelasnya.
Kesemua suspek kini ditahan polis untuk siasatan lanjut, manakala soal siasat intensif sedang dijalankan bagi mengenal pasti perincian jenayah tersebut. -Agensi