suria

Dua anggota polis rogol wanita ditahan ketika sekatan jalan raya dipecat

Anggota polis tidak terlepas daripada hukuman perundangan jika terlibat kesalahan jenayah. -Gambar hiasan

 

DUA anggota polis dipecat selepas didapati bersalah merogol seorang wanita berusia 26 tahun pada 30 September lalu.

Kedua-dua suspek pada awalnya digantung kerja selepas ditahan susulan insiden yang berlaku.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Tiruvannamalai di India.

Kedua-dua anggota terbabit, dikenali sebagai D Sureshraj dan P Sundhar bertugas di Tamil Nadu diberhentikan daripada perkhidmatan kerajaan pada 2 Oktober di bawah Perkara 311 (Fasal 2) Perlembagaan India.

Menurut pegawai polis di Tiruvannamalai, pihaknya menerima satu laporan berhubung tuduhan penculikan dan rogol berkumpulan terhadap kedua-dua konstabel itu. 

"Mangsa dan ibunya ketika itu dalam perjalanan dari Chittoor, Andhra Pradesh menaiki kenderaan membawa buah-buahan sebelum ditahan kononnya untuk pemeriksaan rutin.

"Mangsa diheret ke kawasan terpencil sebelum diserang secara seksual. 

"Penduduk tempatan yang menemui wanita itu pada keesokan harinya segera menghubungi ambulans yang membawanya ke Hospital Kerajaan Tiruvannamalai," ujarnya.

Pihak hospital kemudiannya memaklumkan kepada polis mengenai serangan seksual yang berlaku.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Wanita Negeri Tamil Nadu, AS Kumari menyifatkan kejadian itu mengejutkan kerana melibatkan anggota beruniform, selain memberi jaminan bahawa pampasan akan disalurkan dalam tempoh 10 hari. -Agensi

Artikel Lain