MENGEMIS lazimnya sinonim dengan kemiskinan dan hidup serba kekurangan, namun tidak bagi lelaki ini.
Lelaki berusia 54 tahun itu yang digelar sebagai 'pengemis terkaya di dunia', dilaporkan memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit.
Bharat Jain dari Mumbai, India memperoleh pendapatan bulanan antara 60,000 hingga 75,000 rupee (RM3,360 – RM4,200), hasil daripada aktiviti mengemis selama 10 hingga 12 jam setiap hari.
Pendapatan lumayan itu membolehkannya memiliki apartmen mewah bernilai 1.2 crore rupee (RM672,000) dan sebuah kedai di Thane yang disewakan dengan kadar 30,000 rupee (RM1,680) sebulan.
Bharat yang mengemis sejak lebih 40 tahun lalu dilaporkan memiliki kekayaan keseluruhan lebih 7.5 crore rupee (RM4.2 juta).
Kehidupan mewah Bharat nyata berbeza dengan majoriti pekerja di India yang hanya mampu memperoleh beberapa ratus rupee sehari.
Walaupun telah dipujuk oleh ahli keluarga supaya berhenti, Bharat tetap memilih untuk meneruskan rutin mengemis di jalanan. -Agensi