suria

[V] Kapal terbang kargo bawa 20 penumpang terhempas... Rakaman pesawat berputar di udara dengan sayap berasap tersebar

Tangkap layar rakaman video pesawat kargo Turkiye yang tular di media sosial.

SEBUAH pesawat kargo tentera Turkiye yang membawa 20 penumpang dan anak kapal terhempas di Georgia ketika dalam perjalanan pulang dari Azerbaijan.

Perkara itu disahkan Kementerian Pertahanan Turkiye pada Selasa.

"Pesawat kargo tentera C-130 kami, yang berlepas dari Azerbaijan untuk pulang ke tanah air, terhempas di sempadan Georgia-Azerbaijan," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Georgia, pesawat itu terhempas di kawasan Sighnaghi, kira-kira lima kilometer (3.1 batu) dari sempadan negara Georgia dengan Azerbaijan.

Perkhidmatan kawalan trafik udara Sakaeronavigatsia Georgia turut mendedahkan pesawat itu hilang daripada radar sejurus selepas memasuki ruang udara Georgia, dan ia dimaklumkan tentang nahas itu oleh perkhidmatan kecemasan.

"Sebuah pesawat C-130 Turkiye hilang daripada radar Sakaeronavigatsia beberapa minit selepas memasuki ruang udara Georgia, tanpa menghantar isyarat kecemasan," katanya.

Terdahulu, rakaman tragedi [Tonton Video] yang tersebar di media Azerbaijan menunjukkan pesawat itu berputar secara mendatar di langit dengan keadaan kedua-dua sayapnya berasap sebelum terhempas.

Insiden yang berlaku itu membuatkan Kementerian Pertahanan Turkiye meminta pihak media untuk tidak menyiarkan imej nahas itu.

Malah Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Georgia untuk ke lokasi kejadian sambil meluahkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku.

Untuk rekod, pesawat kargo tentera C-130 Hercules itu dibuat oleh pengeluar AS Lockheed Martin. -Agensi

Artikel Lain