POLIS menahan seorang lelaki berusia 24 tahun selepas tular rakaman menunjukkan dia menyerang secara fizikal seorang pelajar lelaki di dalam kelas.
Suspek ditahan pada 11 November, selepas video kejadian tersebar luas di media sosial.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di wilayah selatan Thailand.
Rakaman yang tular itu memaparkan seorang lelaki dewasa mengugut seorang pelajar dengan pistol dan menyerangnya di dalam kelas, di hadapan beberapa pelajar lain.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan serangan itu, namun mendakwa tindakannya berpunca daripada rasa marah terhadap mangsa yang didakwa sering membuli adik lelakinya.
Suspek menjelaskan bahawa adiknya menghidap asma, anemia dan mengalami kelemahan fizikal, menyebabkan dia cepat letih dan berisiko mengalami serangan jantung.
Menurutnya lagi, adiknya pernah dimasukkan ke hospital beberapa kali akibat dibuli mangsa.
Suspek turut memberitahu pihak polis bahawa pistol yang digunakannya bukan senjata api sebenar, dan mengaku mengambil dadah jenis methamphetamine sebelum kejadian.
Sementara itu, portal tempatan KhaoSod melaporkan mangsa masih dirawat di hospital, namun tahap kecederaannya tidak didedahkan.
Polis kini meneruskan siasatan berhubung insiden tersebut. -Agensi


