SEORANG wanita berjaya memperdaya lelaki yang merogolnya sehingga polis dapat mengenal pasti dan menahan suspek pada Selasa.
Wanita berusia 20 tahun itu membuat laporan pada pukul 10 pagi, susulan kejadian serangan seksual yang berlaku sekitar pukul 1.30 pagi pada hari yang sama.
Menurut mangsa, ketika berjalan pulang dari tempat kerja, suspek bermotosikal mendekatinya sambil mengacukan pistol dan mengugut akan membunuhnya sekiranya enggan menaiki motosikal.
Mangsa menurut arahan suspek dan dibawa ke sebuah resort sebelum dirogol dalam kejadian yang berlaku di Bangkok, Thailand.
Selepas dirogol, mangsa berpura-pura gembira dan meminta akaun Facebook suspek agar mereka boleh berhubung.
Suspek yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian berkongsi akaunnya sebelum melepaskan mangsa.
Mangsa kemudian memberikan maklumat tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menggunakan maklumat daripada akaun Facebook suspek, polis berjaya menjejaki dan menahan suspek dikenali sebagai Raewat di rumahnya di Jalan Phadung Phan.
Polis turut merampas pistol dan motosikal berwarna merah-putih yang digunakan dalam kejadian.
Menurut laporan, Raewat mendakwa dia memperoleh wang melalui perjudian dalam talian dan membelanjakannya untuk dadah.
Dia berkata mengambil dadah menyebabkan nafsu seksualnya meningkat, lalu mendorongnya melakukan serangan tersebut. -Agensi


