RAKAMAN video memaparkan seorang wanita warga emas menengking menantunya di bilik bersalin sebuah hospital mengundang kemarahan ramai.
Difahamkan, insiden itu berlaku ketika wanita hamil berkenaan dalam proses untuk melahirkan anak menerusi pembedahan caesarean akibat komplikasi.
Namun ibu mentuanya berkeras mahukan proses bersalin secara normal meskipun langkah itu dicadangkan sendiri oleh doktor.
Menerusi video yang dikongsi pakar sakit puan, Dr Naaz Fatima [Tonton Video] wanita warga emas itu turut memperlekeh menantunya kerana menangis kesakitan.
Dia dilihat berkata dengan nada tinggi... "Diam atau aku pecahkan mulut kau! Macam mana nak jadi ibu kalau asyik menangis begini?"
Lebih mengejutkan, warga emas berkenaan turut menegur menantunya kerana memegang tangan suaminya ketika menahan sakit.
Malah dia mengarahkan supaya genggaman tangan dilepaskan.
Berdasarkan video tular itu, beberapa ahli keluarga lain dilihat cuba menenangkan keadaan.
Namun malangnya, wanita terbabit berterusan memarahi menantunya dengan melakukan pelbagai ejekan.
Dalam pada itu Dr Naaz menegaskan bahawa ahli keluarga perlu menunjukkan kasih sayang dan empati terhadap wanita yang sedang melahirkan anak.
"Waktu begini mereka perlu ditenangkan, bukan dimarahi," tulisnya di Instagram.
Kejadian di sebuah hospital di Prayagraj, India itu mengundang kritikan hebat warganet yang mengecam tindakan kasar ibu mentua berkenaan serta sikap suami kerana gagal mempertahankan isterinya.
"Sedih tengok isteri diperlakukan begitu dan tiada siapa bersuara. Umur bukan lesen untuk biadab.
"Bukan saja mak mentua bermasalah, tapi suami pun gagal sebagai pelindung," demikian reaksi netizen. -Agensi


