SEORANG lelaki berusia 41 tahun yang pernah memegang rekod sebagai individu paling berat di dunia meninggal dunia akibat jangkitan buah pinggang.
Juan Pedro Franco dari Mexico disahkan meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital di Aguascalientes, Mexico tengah pada 24 Disember lalu.
Perkara itu disahkan doktor yang merawatnya, Jose Antonio Castaneda, yang memaklumkan keadaan Franco merosot akibat komplikasi jangkitan buah pinggang sehingga menjejaskan sistem tubuhnya.
Franco meraih perhatian ramai pada 2017 selepas diiktiraf Guinness World Records sebagai manusia paling berat di dunia apabila berat badannya mencecah 595 kilogram (kg).
Ketika itu, dia hampir tidak mampu bergerak selepas bertahun-tahun terlantar di atas katil akibat obesiti melampau serta masalah kesihatan berkaitan.
Pada tahun sama, Franco menjalani rawatan intensif termasuk pemakanan terkawal dan dua pembedahan bariatrik yang berjaya mengurangkan hampir separuh berat badannya.
Pengurangan berat tersebut membolehkan dia kembali bergerak dan mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Doktor menyifatkan kes Franco sebagai rumit, namun memberi kesedaran global bahawa obesiti merupakan penyakit serius yang memerlukan rawatan bersepadu serta empati.
Castaneda turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Franco dan memuji ketabahan serta keberaniannya berkongsi kisah hidup yang memberi inspirasi kepada ramai. -Agensi


