suria

Tragedi sambut tahun baharu... Remaja 19 tahun lemas selepas berjaya selamatkan nyawa 4 rakan

Mayat mangsa dibawa keluar pasukan SAR pada Sabtu. -Foto Kompas

HASRAT sekumpulan anak muda untuk menyambut kedatangan tahun baharu 2026 berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut ketika menjalankan misi menyelamat.

Kejadian yang berlaku di Kampung Meat, Danau Toba, Sumatera Utara di Indonesia pada Sabtu itu mengorbankan seorang pelajar, Gita Ompusunggu yang berusia 19 tahun.

Menurut Ketua Polis Balige, AKP Libertius Siahaan, mangsa yang merupakan ahli belia sebuah gereja datang ke lokasi kejadian bersama 32 rakan yang lain bagi meraikan sambutan Tahun Baharu dan pembubaran jawatan kuasa Krismas.

"Mereka ke sana dengan menaiki dua buah kereta dan sebuah motosikal. Namun, suasana kegembiraan itu bertukar duka sekitar pukul 10 pagi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Libertius berkata, segalanya bermula apabila empat rakan mangsa iaitu Indah Pardede, Kristiani Rajagukguk, Icha Siburian dan Gicha Ompusunggu tiba-tiba dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi-manda.

Melihat rakan-rakannya dalam bahaya, Gita tanpa berfikir panjang terus terjun ke dalam air untuk memberikan bantuan.

Walaupun berjaya memastikan keempat-empat rakannya selamat sampai ke tebing, mangsa dipercayai mengalami keletihan yang teruk akibat bergelut dengan arus.

"Mangsa didakwa keletihan selepas membantu rakannya. Keadaan fizikal yang semakin merosot menyebabkan dia hilang kawalan sebelum tenggelam ke dasar tasik," jelas Libertius lagi.

Susulan daripada itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi kejadian.

Mayat mangsa akhirnya ditemukan pada pukul 4.40 petang, tidak jauh dari kawasan pantai dan terus dibawa ke Hospital HKBP Balige sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

Dalam pada itu, Libertius berkata, tindakan berani Gita telah menjadi bualan ramai dan dianggap sebagai seorang wira kerana sanggup menggadaikan nyawa demi keselamatan sahabat-sahabatnya.

Walaupun diselubungi kesedihan yang amat mendalam, keluarga mangsa dilaporkan menerima kejadian itu sebagai satu takdir dan jenazah telah dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan. -Agensi

Artikel Lain