suria

Anggota polis tertembak kepala sendiri dalam pos pengawal

Seorang anggota polis cedera parah selepas tertembak diri sendiri. -Foto Facebook TVS

SEORANG anggota polis berusia 58 tahun cedera parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri dalam satu insiden di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada petang Selasa.

Mangsa, yang bertugas di Cawangan Kem Komandan, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan serius di bahagian kepala di bilik pengawal IPK Pulau Pinang kira-kira pukul 6.12 petang.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, siasatan awal mendapati satu das tembakan dilepaskan daripada sepucuk pistol dipercayai milik anggota terbabit.

"Anggota tersebut dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan kecemasan dan kini masih dirawat di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma," katanya dalam kenyataan pada Selasa malam.

Beliau berkata, kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Sehingga siasatan selesai, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," tegasnya.

Maklumat lanjut akan dikongsikan kepada media dalam masa terdekat.

Artikel Lain

Saiful Apek kena tahan?