suria

‘Content creator’ ditahan JPJ, tiada lesen pandu Lamborghini Aventador

Kenderaan mewah jenis Lamborghini Aventador yang disita dalam operasi bersepadu pada malam Selasa. -Foto Sinar Harian

SEORANG pencipta kandungan (content creator) berusia 28 tahun yang memandu sebuah kereta mewah jenis Lamborghini Aventador ditahan kerana tiada lesen memandu yang sah dalam operasi bersepadu di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, pada Selasa malam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kereta mewah dipandu warga China itu merupakan antara 27 kenderaan yang disita dalam operasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri influencer ditahan SPRM, bantu siasatan isu seleweng kutipan derma

Menurutnya, lelaki tersebut ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke Damansara Heights selepas menghadiri majlis pelancaran sebuah restoran makanan segera di Kepong.

"Dalam operasi tersebut, kita memeriksa sebanyak 1,627 kenderaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 211 kenderaan telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.

"Kita turut menyita 24 motosikal, dua kenderaan barangan dan sebuah kereta," katanya memetik laporan Sinar Harian.

Tambahnya, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya terutama ketika musim perayaan.

Seramai 115 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi antaranya JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut terlibat dalam operasi berkenaan.

Artikel Lain

Saiful Apek kena tahan?