KES rogol dan sumbang mahram di Kelantan kini di tahap membimbangkan berikutan terdapat peningkatan kes yang berlaku setiap tahun.
Ini termasuk kes yang berlaku disebabkan suka sama suka, bukannya paksaan.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat pada Rabu berkata, tahun lalu mencatatkan sebanyak 252 kes, manakala tahun sebelumnya iaitu 2023 dengan 206 kes.
Menurutnya, kes dari Januari hingga Mac tahun ini meningkat 15.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
"Ada kes di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun membuat hubungan dengan sepupu perempuan berusia 15 tahun sehingga mengandung.
"Kes sumbang mahram di Kelantan sangat membimbangkan, apabila saban tahun kejadian rogol melibatkan bawah umur yang dilaporkan adalah kerana suka sama suka, bukannya paksaan," katanya memetik laporan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, kanak-kanak lelaki itu menghamilkan sepupunya dipercayai atas dasar cinta bawah umur.
Menurutnya, kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu itu menyebabkan kanak-kanak lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu beliau memberitahu, hasil siasatan pihak polis mendapati 98 peratus kes rogol di Kelantan berlaku kerana suka sama suka.
Lebih membimbangkan katanya, apabila kes tersebut melibatkan mangsa bawah umur, selain kanak-kanak perempuan mencari lelaki.
Mohd Yusoff bagaimanapun menegaskan pendedahan mengenai kes rogol di Kelantan bertujuan untuk menekankan masalah sosial yang sedang berlaku di negeri itu.
Beliau berkata, hasil kajian pihak polis mendapati mendapati konflik keluarga, percintaan, kurang didikan agama, pengaruh rakan sebaya merupakan antara punca utama berlakunya perbuatan terkutuk tersebut.
Ini termasuk pendedahan kepada video atau gambar lucah serta penggunaan dadah turut merupakan faktor kepada kes yang berlaku.
Sehubungan itu, Mohd Yusoff menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka terutama penggunaan telefon serta pergaulan yang terlalu bebas.