suria

Ajaib! Rumah mangsa tragedi kebakaran di Putra Heights rosak teruk, bilik solat langsung tak terjejas

Kiri rumah mangsa yang terjejas teruk, kanan bilik solat dalam keadaan baik. Foto TikTok NajwanHalimi

SIAPA sangka, satu keajaiban berlaku dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Salah sebuah rumah mangsa mengalami kerosakan teruk, namun bilik solat di dalamnya berada dalam keadaan baik.

Dengan keadaan sekitar rumahnya yang dilihat terbakar, penuh debu dan kesan hitam, ajaib apabila bilik solat serta sejadah yang dibentang di dalamnya kelihatan tidak terusik.

Situasi ini tentunya menimbulkan rasa pelik kerana kebakaran pada 1 April lalu suhunya mencecah 1,000 darjah Celcius dengan haba panasnya merosakkan banyak rumah dan harta-benda, malah segelintir penduduk mengalami lecur yang teruk.

Kerosakan yang berlaku ekoran insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Posting mengenai kejadian itu dikongsikan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi ketika melakukan tinjauan ke rumah-rumah mangsa yang terjejas akibat insiden tersebut.

"Salah satu rumah yang terjejas teruk, tapi bilik solat masih dalam keadaan baik.

"Di sebalik musibah, ada tanda kekuasaanNya," kata Mohd Najwan menerusi akaun TikToknya pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 tahun tinggal di Putra Heights, penduduk geram timbul 1001 cerita... Tampil jawab persoalan orang ramai

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk panik api marak menjulang, saluran paip gas utama terbakar

Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik turut mendoakan agar semua penduduk yang terjejas akibat tragedi itu diberi kekuatan dan ketabahan.

"Semoga mangsa diberi ketabahan dan dipermudahkan segala urusan pemulihan. InsyaAllah, kami akan bantu sebaik mungkin," katanya lagi.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan kesyukuran dan memuji kebesaran Yang Maha Esa di sebalik kejadian yang berlaku.

Bilik solat kelihatan tidak terusik. 

"Itulah makna di sebalik yang kekal, hanya solat yang kekal sehingga kiamat.

"Subhanallah tabarakallah, saya percaya tuan rumah bagus amalannya. Semoga tabah semua yang dilanda ujian ini.

"Subhanallah, kebesaran Allah nak tunjuk kepada manusia. Nikmat mana yang engkau dustakan," demikian antara komen netizen.

Pada masa sama, beberapa netizen turut mengakui mengenali tuan rumah dan memuji keperibadiannya.

"Tuan rumah masa bulan Ramadan, dia ada buat untuk anak-anak kawasan tu tadarus kat rumahnya.

"Rumah biras saya ni. Dia memang bagus jaga solat dan rajin betul bersedekah. Bilik solat ni jarang dia tutup pintu tapi itulah haba panas tak masuk pun sedangkan perabot kat hall tu habis cair semua," antara komen netizen.

Artikel Lain

Saiful Apek kena tahan?