SYED Saddiq Syed Abdul Rahman berasa sangat terharu atas doa orang ramai sepanjang perbicaraan kes mahkamah yang sedang berlangsung.
Bercakap kepada media selepas prosiding mahkamah pada Khamis, Ahli Parlimen Muar itu sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyokongnya.
"Saya terhutang budi kepada mereka di luar sana yang sentiasa memberikan doa, sokongan yang tidak putus-putus.
"Sampai ada yang buat bacaan Yassin semalam (Rabu) secara dalam talian di TikTok, Facebook dan Instagram. Saya terhutang budi, terima kasih.
"Saya hanya salah seorang insan yang ingin menutut keadilan di mahkamah, untuk membersihkan nama dan memulihkan integriti saya," ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya menetapkan 24 April sebagai tarikh pengurusan kes rayuan Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
ARTIKEL BERKAITAN: Didapati bersalah atas empat pertuduhan... Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Syed Saddiq kini membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkannya atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram melibatkan dana Armada.
Menerusi keputusan yang dibuat pada 9 November lalu, Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan.