SIASATAN berhubung kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap yang disiarkan di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily sudah dirujuk ke pejabat Peguam Negara (AGC), pada Jumaat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, berdasarkan siasatan awal, akhbar harian itu mendakwa ia berpunca daripada kesilapan teknikal tetapi sebarang tindakan lanjut akan diputuskan oleh AGC.
"Kita sudah merujuk kertas siasatan tersebut pada Jumaat. Buat masa ini, AGC sedang menelitinya sebelum memutuskan tindakan lanjut yang akan diambil.
"Jika mereka mengarahkan kita untuk mengemaskini kertas sisatan, kita akan berbuat demikian," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kesilapan gambar Jalur Gemilang, Sin Chew Daily gantung tugas 2 editor
ARTIKEL BERKAITAN: Kesilapan papar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tidak boleh diterima - Agong
Razarudin berkata, setakat ini, polis sudah merakamkan keterangan 54 individu bagi membantu siasatan.
"Setakat ini kita sudah merakamkan keterangan 54 individu. Terdapat saksi lain mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan," tambahnya.
Dilaporkan pada Khamis, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kesilapan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
Kedua-duanya kemudiannya dibebaskan pada malam yang sama.
KPN berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sin Chew Daily kemudian menggantung tugas kedua-duanya sementara siasatan dijalankan berhubung kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang.
Dalam kenyataan ringkas di laman web rasminya, syarikat itu memaklumkan keputusan berkenaan berkuat kuasa pada Khamis. -The Star