SEORANG gadis berusia 20 tahun ditemukan maut, disyaki terjatuh dari tingkat 11 sebuah kondominium di Tanjung Tokong, George Town pada petang Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 4.05 petang.
Ujarnya, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa yang merupakan warga tempatan dipercayai terjatuh dari kediamannya yang terletak di tingkat 11.
ARTIKEL BERKAITAN: Gempar lelaki maut terjun dari tingkat 15 kondo
Mangsa ditemukan sudah tidak bernyawa di tingkat bawah kondominium.
"Siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.