suria

Guru tuisyen putih mata rugi lebih RM900,000, terpedaya panggilan telefon ‘scammer’

Seorang wanita mengalami kerugian selepas menjadi mangsa penipuan 'phone scam'. -Gambar hiasan

SEORANG wanita kerugian lebih RM900,000 selepas terpedaya menjadi mangsa sindiket 'phone scam'.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, guru tuisyen berusia 48 tahun itu menerima pesanan SMS daripada nombor telefon tidak dikenali pada 11 April lalu, memaklumkan mengenai penggunaan kad bank milik mangsa.

"Mangsa diminta untuk membuat pindahan wang daripada akaun peribadi ke dalam akaun syarikatnya untuk tujuan siasatan.

"Pada 11 April dan 14 April, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM800,000 ke akaun syarikatnya, namun pada masa sama menyerahkan nombor one time password (OTP) kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Abdul Rozak berkata, pada hari sama kira-kira pukul 8 malam, mangsa membuat semakan ke atas akaun syarikatnya dan mendapati sebanyak 32 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM919,990.

Menurut beliau, mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan tidak berasa takut atau panik sekiranya menerima sebarang panggilan telefon dari mana-mana individu yang tidak dikenali.

"Segera tamatkan panggilan telefon dan buat semakan dengan pihak berkuasa melalui portal semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) atau tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran," ujarnya.

 

 

Artikel Lain