JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini sedang meneliti kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan ibadah umrah dan haji.
Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, penelitian itu dibuat bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan serta pihak-pihak berautoriti yang berkaitan.
"Jakim mengambil maklum berhubung kenyataan yang dilaporkan media bertajuk PRK Ayer Kuning: Kemenangan politik lebih utama daripada tunai umrah, haji," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, tindakan itu diambil bagi memastikan masyarakat Islam benar-benar memahami kedudukan ibadah umrah dan haji mengikut panduan syarak serta tidak terpesong dengan tafsiran yang mengelirukan.
"Jakim menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hal-hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," tambahnya.
Pada Ahad, Abdul Hadi ketika berucap dalam satu ceramah Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Kuning dilaporkan berkata, umat Islam di negara ini perlu memberi keutamaan kepada kemenangan politik dan boleh menangguhkan hasrat menunaikan umrah serta haji.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang menyifatkannya sebagai tidak berasas dalam ajaran Islam.
Mujahid turut menggesa pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas terhadap Abdul Hadi kerana kenyataan tersebut dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan serta bercanggah dengan prinsip syariat Islam.