suria

Bekas suami Kim Seri ditahan kes penipuan pakej pelancongan Korea

Kes tersebut masih dalam siasatan polis. -Gambar hiasan

POLIS menahan bekas suami kepada pempengaruh yang dikenali sebagai Kim Seri berhubung siasatan terhadap kes penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek berusia 41 tahun itu merupakan pemilik akaun yang digunakan untuk menerima pembayaran daripada mangsa yang terpedaya melalui promosi di aplikasi TikTok.

"Suspek ialah pemilik akaun kepada sebuah syarikat yang digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa yang didakwa terpedaya dengan tawaran pakej pelancongan itu.

"Tangkapan pertama terhadap suspek dibuat pada 21 April lalu dan dia kini masih dalam tahanan polis Johor untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas kakak ipar ‘spill the tea’, dakwa adik meringkuk di lokap sebab kes Kim Seri - “Jawapan kenapa dia masih lepas bebas”

ARTIKEL BERKAITAN: Kim Seri sah bergelar isteri jejaka Korea, tak pernah lupa ada hutang belum dilangsaikan

Kumar berkata, semakan mendapati lapan kertas siasatan dibuka berhubung akaun terlibat di beberapa daerah, termasuk Johor Baru Selatan, Kota Tinggi, Seri Alam, Iskandar Puteri, Muar dan Kluang.

"Kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kumar juga berkata, suspek dipercayai turut terlibat dengan modus operandi sama di kontinjen lain.

"Siasatan terhadap kes itu diteruskan," katanya.

Artikel Lain