SEORANG lelaki bujang berusia 28 tahun ditahan reman tujuh hari selepas dipercayai mencabul anak asuhan ibunya sejak kanak-kanak perempuan itu berusia tujuh tahun.
Perintah reman terhadap suspek yang bekerja sebagai mekanik dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari di Mahkamah Majistret Melaka pada Isnin.
Reman tersebut ditetapkan sehingga Isnin depan untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Menurut sumber, kejadian tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada guru yang memintanya untuk segera hadir ke sekolah.
Guru kemudian memberitahu mangsa dicabul oleh suspek sejak kanak-kanak itu berusia tujuh tahun di rumah pengasuhnya itu di Kampung Batang Tiga, Melaka.
Mangsa, yang kini berusia 10 tahun mendakwa dirinya dicabul oleh lelaki terbabit semasa dia berada di bilik ketika ibu suspek sedang sibuk di dapur.
"Difahamkan mangsa dihantar kali terakhir ke rumah pengasuh berkenaan pada Disember tahun lalu.
"Ibu mangsa terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu kerana selama ini mangsa tidak pernah menceritakan hal itu kepada sesiapa," katanya
Sebelum ini, ibu mangsa menyedari bahawa anaknya mula menunjukkan perubahan sikap, lebih banyak menyendiri sejak berusia sembilan tahun.
Tetapi setelah mendapat maklumat tersebut, ibu mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga pada Sabtu.
Susulan itu, anaknya turut dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada pakar psikiatri.