suria

Isteri maut, suami parah dirempuh Triton langgar lampu merah... Suspek hilangkan diri, tak balik rumah

Isteri maut di tempat kejadian manakala suami cedera parah ketika kejadian. -Foto PDRM

PERJALANAN pasangan suami isteri bertukar tragedi apabila mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) pada Jumaat malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu,  Roslinah Sinan, 53, disahkan maut di lokasi kejadian manakala suaminya, Hisham Omar, 57, mengalami kecederaan parqh di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit yang menunggang motosikal jenis Honda Wave 125 sedang dalam perjalanan dari Malim ke Balai Panjang.

Pasangan itu kemudiannya berhenti di persimpangan sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang melanggar lampu isyarat merah.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah belakang.

"Pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu kemudian melarikan diri dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Christopher berkata, semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia didaftarkan atas nama seorang pengurus syarikat.

"Pegawai penyiasat bersama penolong dan pengurus syarikat terbabit, selaku pemilik kenderaan, cuba mengesan pemandu Mitsubishi Triton berkenaan di rumahnya.

"Bagaimanapun, suspek tidak pulang ke rumahnya dan usaha memburunya sedang giat dilakukan," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Sementara itu dalam perkembangan terkini, polis menahan pemandu lelaki kenderaan pacuan empat roda terbabit selepas dia menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada pukul 12.50 tengah hari, Sabtu.

Pemandu Triton yang sebelum ini didakwa melarikan diri itu tampil kira-kira 13 jam selepas insiden.

Susulan itu, pihak polis akan mengambil sampel darah suspek untuk ujian toksikologi bagi mengesan kehadiran alkohol, selain ujian air kencing turut dijalankan.

Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara melulu) dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Ahad.

Artikel Lain