TULAR rakaman video memaparkan aksi berbahaya seorang pemandu bas ekspres yang memandu secara melulu di sebuah lebuh raya utama.
Menerusi video dikongsikan, pemandu terbabit dilihat memandu laju di laluan kecemasan bagi memintas beberapa buah kenderaan yang berada di lorong kiri.
Sejurus selepas berjaya masuk ke lorong kiri pemandu itu terus bertindak menghimpit masuk ke laluan paling kanan pula tanpa menghiraukan kenderaan lain.
Tindakan berbahaya itu menyebabkan pemandu kenderaan yang merakam aksi ini segera menekan hon dan memperlahan pemanduan.
Terdahulu, ketika menyedari cara pemanduannya dirakam, pemandu bas terbabit dilihat membuka tingkap dan menunjukkan isyarat lucah jari tengah kepada perakam.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila dan di mana kejadian ini dirakamkan sebelum ia dimuat naik di media sosial.
Rakaman tersebut meraih perhatian ramai sehingga mencetuskan perdebatan di ruangan komen.
"Dia angkat jari tengah. Kalau aku ni mahu tekan hon je sepanjang jalan biar dia 'koyak'.
"Pemandu bas ini boleh 'membunuh'. Cukup bahaya. Nyawa orang boleh buat main. Satu bas penuh nyawa (penumpang). Kereta lagi. Boleh hilang nyawa penumpang dan pengguna jalan raya.
"Puak-puak ni selagi tak berlaku kemalangan, selagi tu mereka tunjuk besar kepala," komen beberapa netizen di ruangan komen.
Namun begitu, terdapat juga segelintir netizen yang menyalah cara pemanduan kenderaan dalam rakaman yang menjadi punca pemandu bas bertindak sedemikian.
"Dah engkau bawa (pandu) perlahan, dia marah la sebab tak boleh potong belah kanan. Nak bawa perlahan pergi belah kiri.
"Yang nak viral pun, kalau ya... rakam la belah kiri. Ni di lorong kanan laju kan. Kenapa bawa perlahan.
"Bas tu ada masa (jadual perjalanan). Nanti sampai lambat, dah mengadu bas lembap pula," komen beberapa netizen lain.
Walaupun pelbagai spekulasi dibangkitkan, kebanyakan pengguna media sosial menyifatkan tindakan pemandu bas tersebut sebagai tidak wajar dan mementingkan diri.
Sehingga kini masih tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh syarikat bas terbabit atau pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.