SEORANG lelaki ditahan kerana menunjukkan kemaluannya di depan seorang pelajar perempuan di Tawau, Sabah pada Rabu.
Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, berkata suspek berusia 30-an itu ditahan susulan laporan polis dibuat remaja 15 tahun berkenaan.
Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya sebelum dihampiri sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki tidak dikenali.
"Suspek pada awalnya bertanyakan arah jalan kepada mangsa sebelum menunjukkan kemaluannya.
“Mangsa yang terkejut segera melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran kerana bimbang akan keselamatan dirinya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Jasmin berkata, suspek kemudian ditahan di sebuah rumah di kawasan Merotai pada 4.30 petang hari sama dan pacuan empat roda itu turut dirampas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.