SYARIKAT motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati) akhirnya membuka mulut susulan dakwaan menganjurkan program yang bertentangan dengan ajaran Islam selain menyelitkan unsur-unsur tidak bermoral.
Dalam kenyataan pada Selasa, pengasas bersama eHati, Diyana Tahir dan Rahim Shukor menegaskan program kendalian syarikat tersebut dibangunkan secara teliti agar mematuhi standard etika profesional serta selari dengan nilai budaya dan agama masyarakat di Malaysia.
"Program yang ditawarkan eHati berfokus membantu wanita di Malaysia untuk mendapatkan ketenangan, mencari kebahagiaan, meningkatkan keyakinan diri dan juga memulihkan trauma yang telah lama tersimpan melalui pendekatan seperti Neuro-Linguistic Programming (NLP).
"Modul yang disediakan juga merangkumi beberapa aspek dan terbahagi kepada beberapa kategori berlandaskan hipnoterapi, psikoterapi dan NLP," ujar kenyataan itu sambil menegaskan, kedua-dua pengasas merupakan pengamal bertauliah dalam bidang hipnoterapi.
ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula elok berbaju, program motivasi wanita didakwa buat aktiviti bogel ramai-ramai... Cium sesama jantina
Syarikat tersebut turut menolak dakwaan bahawa program yang dianjurkan menggalakkan wanita mengetepikan institusi perkahwinan atau memfokuskan kehidupan kepada 'diri sendiri'.
Jelasnya, program yang ditawarkan menekankan pendekatan yang seimbang dengan niat untuk membantu peserta memperbaiki hubungan, membantu wanita mencapai ketenangan dan seterusnya memulihkan hubungan suami isteri.
Antara gambar yang tular mengenai program yang berlangsung di Shah Alam tahun lalu.
"Berkenaan dakwaan ajaran urutan berunsur falsafah Tantra, kami tegaskan bahawa kaedah urutan kami sebenarnya diadaptasi daripada gabungan pelvic floor massage dan Thai massage yang diolah agar sesuai dengan nilai tempatan serta tidak melibatkan unsur atau ritual agama lain.
"Ia juga adalah modul pilihan dan peserta kami tidak diwajibkan untuk mengikutinya.
"Tentang minuman Piya, ia hanyalah campuran koko asli (raw cocoa), madu dan rempah semula jadi yang dirumus untuk membantu menenangkan fikiran dan tubuh badan.
"Minuman ini langsung tidak mengandungi bahan terlarang atau 'cendawan ajaib' seperti yang didakwa," ujarnya.
Dalam pada itu, eHati menjelaskan pihak mereka sudah tampil memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada November 2022 susulan sebuah program yang dianjurkan syarikat mereka.
Malah, eHati turut menafikan sebarang siasatan rasmi dijalankan oleh pihak tertentu terhadap mereka.
"Kami menyarankan dan memberi peringatan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa yang terlibat untuk selidik terlebih dahulu perkara-perkara yang tular di media sosial untuk memastikan kebenarannya sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menghukum," ujarnya lagi.
"Pihak eHati kini dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, tidak berasas atau berniat jahat hingga menjejaskan reputasi, kredibilit dan operasi sah program kami," ujarnya lagi.