suria

Polis serbu pesta gay di Kelantan... Ratusan kondom dan ubat HIV dirampas, 20 ditahan

Hubungan sejenis adalah salah di sisi undang-undang dan agama. -Gambar hiasan

SATU perjumpaan makan-makan dipercayai melibatkan hampir 100 individu gay di sebuah banglo di Jalan Kemumin di Kota Bharu, Kelantan diserbu polis pada pertengahan Jun lalu.

Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam pada pukul 1 pagi itu turut membawa kepada rampasan ratusan kondom dan ubat HIV.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata berdasarkan intipan awal, dianggarkan hampir 100 lelaki berusia 20 hingga 30-an berada di lokasi dan jumlah itu semakin berkurang selepas tengah malam.

Namun, katanya ketika serbuan dilakukan hanya 20 lelaki ditahan, manakala yang lain dipercayai sudah pulang.

"Kita mendapat maklumat kumpulan itu menyewa sebuah banglo untuk acara makan-makan dalam kalangan mereka dan hasil risikan kami pertemuan itu dihadiri hampir 100 orang.

"Kita percaya pertemuan itu diadakan untuk aktiviti hubungan terlarang berdasarkan penemuan kondom dan ubat HIV, namun aktiviti hubungan itu belum lagi dilakukan," katanya.

Mohd Yusoff berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis pada Khamis.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap 20 lelaki yang ditahan, mereka mengaku menghidap HIV dan menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada mereka yang berminat.

"Daripada 20 lelaki berkenaan, tiga daripadanya kita berjaya tuduh di mahkamah memandangkan terdapat video hubungan terlarang lelaki sesama lelaki dalam telefon bimbit mereka.

"Kesemua mereka yang menyertai pertemuan itu adalah orang Kelantan dan masing-masing mempunyai pekerjaan. Majlis pertemuan itu juga dimuat naik di media sosial untuk menarik lebih ramai peserta," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan menjalankan risikan lanjut berhubung sejauh mana aktiviti itu berlaku di negeri berkenaan.

Artikel Lain