suria

Sah wujud aktiviti bogel, penjawat awam turut jadi peserta program motivasi - Polis

Polis sahkan ada aktiviti bogel semasa program motivasi rumah tangga di Shah Alam tahun lalu.

POLIS mengesahkan empat individu terlibat dalam aktiviti bogel dalam program motivasi rumah tangga yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC di Shah Alam, Selangor pada tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, aktiviti bogel itu berlaku pada malam terakhir pogram itu menerusi segmen queens night.

"Pada majlis itu, memang ada kegiatan bogel yang dilakukan oleh empat individu. Acara itu dipanggil sebagai queens night yang dilakukan pada malam terakhir program berkenaan.

"Siasatan mendapati aktiviti bogel itu dilakukan oleh fasilitator dan juga peserta program berkenaan," ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas eHati, anak antara enam direman tiga hari

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula elok berbaju, program motivasi wanita didakwa buat aktiviti bogel ramai-ramai... Cium sesama jantina

Menurut Hussein lagi, peserta program itu ditawarkan pakej A berharga RM6,000 dan pakej B yang bernilai RM9,000.

"Pakej B mempunyai tambahan program yang dikenali sebagai queens night, aktiviti bogel itu juga dipanggil sebagai rebirth.

"Kita juga kesan terdapat dari kalangan penjawat awam yang menyertai program ini, siasatan lanjut masih dijalankan," jelasnya lagi.

Program motivasi rumah tangga itu berlangsung pada 27 hingga 30 September tahun lalu.

Setakat ini polis sudah mengenal pasti 50 peserta program itu dan mereka diminta hadir memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, mStar melaporkan pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga Ehati International Sdn Bhd (eHati) direman selama tiga hari sehingga Jumaat oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.

 

Artikel Lain