TUJUH warga Afghanistan, termasuk dua kanak-kanak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana cuba memasuki Malaysia menggunakan dokumen perjalanan palsu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, penahanan itu susulan dua percubaan menggunakan visa palsu di Terminal 1 lapangan terbang berkenaan.
"Mereka yang ditahan ialah tujuh warga Afghanistan, terdiri daripada lima dewasa dan dua kanak-kanak.
"Mereka tiba dalam dua kumpulan yang mana kumpulan pertama pada pagi Ahad (13 Julai) dan kumpulan kedua pada malam Selasa (15 Julai)," kata agensi itu pada Jumaat.
Bertindak atas risikan yang dikumpul, pegawai AKPS meneliti dokumen perjalanan suspek dan menemui percanggahan maklumat.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu menggunakan visa palsu, dipercayai diperoleh di Uzbekistan, dalam usaha mereka memasuki Malaysia.
“Mereka mendakwa melarikan diri dari Iran dan berhasrat menjadikan Malaysia destinasi terakhir,” jelas agensi berkenaan lagi.
Kesemua tujuh individu itu tidak dibenarkan masuk kerana melanggar undang-undang imigresen dan cuba menggunakan dokumen palsu. . -The Star