suria

Pelanggan perlu diutamakan, tiada polisi tak boleh turun bantu pemohon sakit strok di lobi - KP JKPTG

Muhammad Azmi memberi penjelasan berhubung insiden pesakit strok tidak dibantu Unit Pembahagian Pusaka Perlis.

KELUHAN seorang wanita yang kecewa kerana tidak mendapat bantuan sewajarnya ketika berurusan di Unit Pembahagian Pusaka (UPP) Perlis mendapat perhatian pihak Jabatan Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan.

Menurut Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, pada hari berkenaan pegawai pusaka di UPP, Kangar mempunyai 10 kes untuk dibicarakan.

"Dalam kes ni bukan pegawai kaunter tapi pegawai pusaka. Bilangan kes yang dibicarakan ada 10 dan biasanya perbicaraan diadakan dalam bilik bicara seperti mahkamah kecil dan mengambil masa yang lama.

"Setiap kes ada gilirannya dan tempoh bicara bergantung pada keadaan. Jadi nak turun tengok pemohon atau tidak bergantung pada budi bicara pegawai.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada belas kasihan… Pegawai kerajaan suruh pesakit strok terlantar dalam ambulans ‘panjat’ tingkat 7, tak mahu berurusan di lobi

"Pemohon tu datang bersama dengan makcik dan penjelasan sudah diberikan. Dia (pegawai pusaka) beranggapan pemohon faham... sebab itu dia tak turun tengok," jelasnya kepada mStar pada Jumaat.

Pada Selasa, mStar melaporkan tentang kesulitan yang dihadapi seorang pesakit strok yang terlantar berhadapan kesukaran ketika mahu berurusan dengan seorang pegawai UPP.

Menurut ibu saudara kepada pesakit terbabit, pegawai bertugas yang berada di tingkat tujuh Bangunan Persekutuan enggan turun berurusan di lobi walaupun sudah dimaklumkan tentang keadaan pemohon.

Dalam pada itu ujar Muhammad Azmi, pegawai pusaka Perlis bersama pengarah JKPTG negeri sudah bertemu dengan pemohon di rumahnya pada petang Selasa, 15 Julai.

Penetapan tarikh untuk perbicaraan juga dibuat pada 23 Julai ini mengikut salur perundangan yang memerlukan notis tujuh hari selepas permohonan baharu dibuat.

Mengulas tentang polisi perkhidmatan, Muhammad Azmi berkata pihaknya sentiasa mengutamakan pelanggan berdasarkan situasi semasa.

Anak saudaranya merupakan pesakit strok yang terlantar.

Namun ujarnya, tiada arahan khusus yang mengatakan pegawai bertugas tidak boleh turun bertemu pelanggan atau sebaliknya.

Pada masa sama, beliau menyeru pemohon atau mana-mana individu yang ingin berurusan dengan pegawai pusaka untuk menggunakan saluran sewajarnya bagi mendapatkan maklumat terperinci.

"Tak perlu buat temujanji. JKPTG dah buat pelbagai saluran untuk pertanyaan, apa sahaja berkaitan dengan pusaka boleh buat melalui WhatsApp.

"Penjelasan berkenaan tatacara permohonan ada dalam video pendek, sekarang ini pertanyaan melalui WhatsApp yang popular. 

"Tetapi jika ada keperluan, boleh buat temujanji dengan pegawai. Cuma pertanyaan perkara asas dan umum seperti tatacara permohonan boleh dibuat melalui WhatsApp atau panggilan telefon," tambahnya lagi.

  • Pegawai pusaka kendali 10 kes sehari, sebab tu tak dapat turun bantu.
  • Setiap kes diberikan nombo penggiliran.
  • Pegawai lawat pemohon di rumah dan tetapkan tarikh baru.
  • Pertanyaan pusaka boleh dibuat melalui WhatsApp tanpa temujanji.
  • Proses permohonan bakal dipermudah melalui pindaan akta.

Mengulas lanjut, ujarnya, mereka yang mengalami kesukaran sebagaimana situasi pemohon di Perlis bolehlah melantik keluarga atau sahabat wakil untuk membantu.

Apa yang pemohon perlu lakukan adalah mengisi borang DDA (Declaration of Distribution and Administration) bagi mewakilkan sesiapa sahaja untuk membantunya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Azmi berkata, pihaknya dalam kajian untuk menambah baik proses permohonan pusaka menerusi pindaan akta berkaitan.

"Kita akan benarkan bicara secara atas talian mengikut kes. Kita sedang dapatkan pandangan daripada pelbagai pihak terutama daripada sudut perundangan. 

"Menerusi sistem MyLand, kita tidak dibenarkan tandatangan secara digital. Walaupun perintah ada dalam sistem, kita kena print out dan tandatangan secara fizikal. 

"Jika tandatangan digital boleh dilakukan, urusan pemohon akan lebih mudah," jelasnya.

Artikel Lain