IBARAT mendapat nyawa kedua!
Itulah ungkapan sesuai bagi menggambarkan pengalaman dialami seorang lelaki dikenali sebagai Aimi Nasruddin, yang akhirnya pulih selepas terkena serangan jantung, awal bulan ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aimi berkata kisah bermula ketika dia bersama rakan-rakannya mengunjungi Bondi Beach, di Sydney, Australia pada 9 Julai lalu.
"Sampai dekat satu bangku, saya suruh yang lain jalan dulu, saya nak rehat. Saya duduk dan kemudian collapse," ceritanya mengimbas kembali detik berkenaan.
Dia diberi bantuan cardiopulmonary resuscitation (CPR) di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke St Vincent's Hospital untuk rawatan lanjut.
Menurut Aimi, dia berada dalam keadaan koma selama lima hari dan apa yang mengejutkan, dengan izin Allah, kiriman voicenote suara penyanyi kegemarannya, Datuk Seri Siti Nurhaliza mampu membuatkan dia memberikan respons.
(Kiri) Aimi diberi bantuan awal, (kanan) selepas tersedar dari koma.
"Ayah saya punya usaha cuba mencari kawan-kawan saya yang boleh mendapatkan voicenote daripada @ctdk (Siti Nurhaliza) dengan harapan saya dapat memberikan respons yang positif sebab masa ni saya memang tak sedar langsung.
"Pergerakan tangan itu sangat positif, dan ayah saya sangat kagum dengan @ctdk masa tu.
"Ayah saya kata dalam masa satu jam sahaja daripada waktu ayah saya mula hubungi kawan-kawan saya, @ctdk dah send voicenote untuk saya," kongsinya sambil menambah, dia tersedar dari koma pada hari keenam selepas insiden serangan jantung itu.
Aimi turut berkongsi isi kandungan 'voicenote' kiriman biduanita tersebut yang memintanya kuat mengharungi ujian dan memperbanyakkan zikir.
"Aimi selawat banyak-banyak, istighfar sebab Dia boleh mengurangkan sakit kita.
"Zikir jangan berhenti, kuat semangat, Aimi jangan putus asa, terima kasih selama ni banyak sokong Kak Siti, InsyaAllah Aimi boleh harungi semua ni," demikian antara pesanan yang dapat didengari menerusi video yang dikongsikannya.
Aimi yang kini sudah pulang ke Malaysia berkata, walaupun sudah pulih namun dia masih perlu berjaga-jaga.
"Hari ni genap 20 hari sejak kejadian saya collapse. Saya dah boleh memandu, masuk kerja.
"Saya anggap ia seperti keajaiban Ilahi dan ia juga berkat doa daripada keluarga dan kawan-kawan," akhirinya.