SIAPA kata rakyat Malaysia prejudis dengan sentimen perkauman? Seorang wanita Melayu membuktikan perbezaan warna kulit bukan alasan untuk membantu lelaki Cina yang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Menerusi perkongsian di TikTok, wanita yang dikenali sebagai Nursyahadah sanggup menghantar lelaki warga emas itu menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) sehingga ke destinasi, meskipun lokasi itu bukan sebahagian daripada laluannya.
Insiden menyentuh hati itu berlaku di KL Sentral, Kuala Lumpur ketika waktu puncak, apabila Nursyahadah terserempak dengan warga emas yang bergantung sepenuhnya pada tongkat untuk bergerak.
"Terserempak dengan Uncle Thomas, dia buta. Saya tanya dia nak ke mana dan dia jawab nak pergi Wangsa Maju. Tapi itu bukan laluan saya.
"Saya tahu waktu puncak sangat mencabar, tambahan pula bagi OKU penglihatan. Akhirnya, saya sendiri hantar dia ke Wangsa Maju dan sanggup ulang semula perjalanan pulang yang berjumlah 18 stesen semuanya,” katanya,
Berdasarkan video berdurasi 46 saat itu [Tonton Video], Nursyahadah memimpin Uncle Thomas melalui eskalator, sebelum membawanya naik menaiki LRT.
Sebaik sampai sahaja di Wangsa Maju, dia turut menemani Uncle Thomas hingga masuk ke dalam teksi.
Jelas Nursyahadah, tindakannya itu dilakukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, sebaliknya sebagai usaha menyebarkan kesedaran tentang pentingnya nilai ihsan dalam masyarakat.
"Saya kongsi cerita ini bukan untuk riak, tapi untuk sebarkan kesedaran. Bersikap baiklah kepada semua orang, tanpa mengira keadaan mereka.
"Layanlah orang lain seperti mana kita mahu dilayan. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua,” katanya.