SEORANG lelaki yang bertugas sebagai doktor di sebuah hospital awam di negeri Melaka dicekup berkhalwat dengan kekasihnya di Taman Semabok Perdana, Semabok.
Serbuan yang dibuat penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada petang Selasa mendapati kekasihnya itu juga merupakan seorang doktor perubatan.
Dalam serbuan itu, JAIM terpaksa menunggu selama 20 minit kerana pasangan doktor berkenaan enggan memberi kerjasama.
Bagaimanapun, doktor lelaki itu akhirnya akur dan membuka pintu rumah teres setingkat tersebut sebelum ditahan kira-kira pukul 3.43 petang.
Selain JAIM, serbuan di rumah sewa doktor itu turut disertai imam masjid, polis dan penduduk setempat.
Menerusi video di media sosial, kelihatan pasangan itu keluar dari kediaman sebelum dibawa menaiki sebuah van.
Doktor lelaki itu memakai jersi biru dan seluar panjang, manakala kekasihnya mengenakan pakaian serta tudung berwarna hitam.