suria

Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi beri keterangan kes kematian Zara Qairina

60 individu dipanggil beri keterangan berhubung kematian Zara.

SERAMAI 60 individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Antara yang dipanggil termasuklah nama yang disebut-sebut netizen di media sosial iaitu Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, 60 individu berkenaan bukan sahaja pelajar, malah merangkumi kakitangan sekolah dan ibu bapa.

"Buat masa sekarang kertas siasatan telah kita bawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

"60 saksi ini melibatkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. Itu juga telah diambil kenyataan (tiga nama didakwa di media sosial), setakat ini (nama didakwa) memang ada, sebagai pelajar," ujarnya pada Khamis.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Sebelum ini, nama Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi menjadi bualan netizen dan dikaitkan dengan kematian remaja tingkatan satu itu.

Dalam pada itu, Jauteh berkata siasatan kini menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.

Jauteh turut menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kes itu melibatkan anak orang kenamaan termasuk dirinya sendiri.

"Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan ini (dakwaan buli) berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan.

"Berkaitan dakwaan ada anak-anak VIP yang bersekolah di sana termasuk diri saya sendiri, saya nyatakan di sini tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu," jelasnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai, sehari selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya.

Kisah kematian remaja itu tular di media sosial sehingga mencetuskan gerakan #JusticeForZara selepas timbul dakwaan dia dibuli.

 

Artikel Lain